MAWAR OH MAWAR…






Bunga mawar ataupun bunga ros adalah salah satu tumbuhan berbunga dalam kumpulan Angiosperm. Bunga mawar mempunyai keharuman yang lembut, lemah dan tidak sekuat bunga tempatan yang lain. Ini mungkin disebabkan bunga mawar tidak banyak mempunyai persaingan. Pokok bunga mawar merupakan sejenis tumbuhan berbunga perennial berduri yang sering di tanam sebagai pokok hiasan. Sememangnya mawar adalah berduri… mawar berduri. 

Ada pelbagai jenis bunga mawar di dunia namun, ia dikategorikan dalam tiga jenis utama iaitu bunga mawar liar, bunga mawar taman tradisi dan bunga mawar taman moden. Setiap warna bunga mawar membawa makna atau lambang yang berbeza.


Saiz bunga mawar di Malaysia dan di Eropah tidak sama kerana perbezaan cuaca. Saiznya lebih besar di negara beriklim sejuk. Jika kita pergi ke Cameron Highlands bunga mawar di sana saiznya besar-besar belaka berbanding bunga mawar di tanah rendah. Bunga mawar mempunyai pelbagai warna. Di antara warna-warnanya ialah biru, hijau lembut, merah, kuning, oren, ungu dan hitam. Di Malaysia, mawar yang biasanya dijumpai berwarna merah jambu lembut. Bunga mawar yang berwarna merah, kuning dan putih menjadi pilihan ramai. Pokok mawar boleh dikacukkan dan menghasilkan warna yang pelbagai seperti ungu merah jambu, merah kuning dan mawar kuning jingga.

Setiap bunga mawar mempunyai perbezaan baik warna, susunan bunga, ukuran bunga, tinggi tanaman, dan jumlah durinya. Dilihat dari segi warna, ada putih, putih kuning, kuning pink, oren dan merah. Adapun susunan bunga mulai dari satu lapis, seperti Leda dan Ellen Wilmott, dan berlapis tiga seperti Fisrt Edition dan yang 10 lapis seperti; MMG George Bruant, Dark Lady, dan Molyneux.

Bunga mawar spesies Molyneux dan Pierre de Runsard terkenal dengan keanggunannya iaitu cantik, menarik dan eksklusif. Bunganya kuning berbaur merah jambu berukuran 7 cm. Mempunyai 30 helai tersusun melingkar dan tersusun kemas. Tingginya hanya 1 m tetapi kuntum bunganya banyak. Ia mempunyai aroma yang lembut.

Mawar disukai ramai dan selalu menjadi penyeri laman. Selain baunya yang harum, mawar menjadi pilihan kerana sering diterjemahkan sebagai lambang kasih sayang. Dalam kebudayaan barat bunga mawar melambangkan bunga cinta. Di zaman dahulu di Eropah, bunga mawar menjadi bunga penting untuk taman larangan istana.

Berikut adalah makna yang tersirat (lambang) selaras dengan warna bunga mawar yang dihulurkan (….. hanya sebagai bahan bacaan dan renungan, tak payahlah nak diikut …….):

  •  Mawar Merah – “Aku cinta padamu”.
  • Mawar Merah Jambu Tua – “Terima kasih sayangku”.
  • Mawar Merah Jambu – “Aku gembira dengan perhubungan kita”.
  • Mawar Merah Jambu Muda – “Aku simpati kepadamu”.
  • Mawar Putih – “Cintaku padamu cinta yang tulus” / “Salam perpisahan”.
  • Mawar Kuning – “Aku gembira dengan hubungan cinta kita”.
  • Mawar Ungu – “Aku jatuh cinta dan terpesona padamu”.
  • Mawar Oren – “Aku ingin berkenalan dengan lebih dekat padamu”.
  • Mawar Biru – “Sayangku kita boleh mencapai sesuatu yang mustahil”.
  • Mawar Putih Bercampur Mawar Merah – “Kita adalah berlainan namun kita boleh bersatu”.
  • Mawar Ungu Bercampur Mawar Oren – “Aku cinta padamu dan ingin mengenalimu dengan lebih mendalam”.
  • 11 kuntum bunga mawar sewarna bercampur dengan satu bunga mawar yang berwarna kontra – “Sayangku kau adalah berlainan dan unik sebab itu aku menyintaimu”.
Lagu Bunga Mawar
(The Mercys)
Oh bunga mawar kau idaman hati
Yangku puja-puja selalu
Ingin hatiku oh memetik dikau
Tapi apa daya tak sampai
Oh bunga yang rupawan
Rindu hati siang dan malam
Hasratku ingin berdua selamanya
Ke mana ku mengadu
Bulan bintang pun tak tahu
Cintaku hanyalah satu kekasihku
Comments: 2 Comments

RATU FLORIA 2011

Berita Minggu, 3 Julai 2011
SESIAPA saja pasti mengiyakan keindahan dan keharuman bunga mawar. Bukan saja warnanya yang pelbagai, kelopaknya yang indah serta baunya yang boleh menggamit tarikan, sebaliknya populariti bunga yang turut dikenali ros ini juga sudah sinonim sebagai simbol kasih sayang baik dalam kalangan pasangan kekasih, tanda ingatan seorang suami kepada isteri atau anak kepada ibu bapa serta sesama teman. Malah, senyuman pasti tidak lekang daripada bibir penerima mawar tidak kiralah sekuntum atau jambangan indah dan menawan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merasmikan
prapelancaran Floria 2011 di Putrajaya, dua minggu lalu.


Dan bagi tempoh sembilan hari bermula 9 hingga 17 Julai nanti, pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga akan ‘tersenyum’ dengan keindahan mawar yang menjadi penghias utama Festival Bunga dan Taman Putrajaya (FLORIA) yang akan berlangsung di Persisiran Tasik, Presint 2.

Namun, apa kisah di sebalik pemilihan bunga mawar berkenaan? Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pemilihan mawar sebagai tema FLORIA kali ini sesuai dengan hasrat menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman serta peneraju pameran hortikultur dan landskap di Asia Tenggara.
Bertemakan ‘Mawar Selamanya,’ bunga itu dipilih kerana menerapkan elemen kasih sayang yang boleh diterjemahkan sebagai usaha murni kerajaan memupuk dan menyuburkan kasih sayang antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Selain itu, mawar pun kaya nilai komersial dan sesuai digunakan dalam reka bentuk landskap, gubahan bunga dan sebagai hadiah kepada yang tersayang,” katanya yang mahu menjadikan FLORIA sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negara serta destinasi terbaru festival bunga dan hortikultur antarabangsa di dunia seperti di Eropah, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.

Selain mempamerkan bunga-bungaan, landskap dan hortikultur, pameran berkenaan juga boleh dijadikan medan mendidik masyarakat supaya lebih menghargai alam sekitar dan memastikan landskap yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan dijaga dan dihargai.
“Festival ini juga mencetuskan peluang dan potensi dalam bidang berkaitan ekonomi, perniagaan serta keusahawanan seperti perusahaan semaian, perniagaan tanaman bunga dan hiasan, perkhidmatan landskap, khidmat rundingan pembangunan dan pengurusan taman, bekalan bahan tanaman, peralatan perkebunan moden,” katanya.

Sejak sejak empat tahun diperkenalkan bukan jumlah pengunjung saja bertambah malah peserta pameran dan nilai jualan sepanjang 10 hari penganjurannya turut meningkat.

Penganjur menjangkakan kutipan hasil jualan untuk festival kali ini dijangka meningkat 100 peratus berdasarkan prestasi jualan tahun sebelumnya. Pada 2009, nilai jualan dicatatkan sebanyak RM767,949 manakala tahun lalu meningkat 118 peratus dengan hasil kutipan berjumlah RM1.67 juta.
Jumlah pengunjung kali ini turut dijangka meningkat kepada 800,000 pengunjung berbanding 700,000 pada tahun lalu. Pengunjung yang datang juga disediakan pengangkutan transit percuma.
Sesuai temanya, FLORIA kali ini akan mempamerkan kira-kira 12,000 pokok bunga mawar pelbagai spesies dan lebih 400,000 tumbuhan berbunga dan berwarna-warni akan dipamerkan. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan produk komersial dari industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi pereka taman dan pameran gubahan bunga.
Sebanyak 13 taman dan gubahan bunga penyertaan antarabangsa termasuk United Kingdom, Kanada, Taiwan, Korea, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macao dan Thailand turut mengambil bahagian.
Lebih menarik lagi, kemeriahan Floria Putrajaya 2011 bakal diserikan acara perarakan bot yang direka bentuk dan dihias indah dengan pelbagai jenis flora yang akan belayar di Tasik Putrajaya. Acara yang julung kali diadakan di Putrajaya ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia menerusi ‘1Malaysia International Tourism Night Floral Parade 2011.’
Bagi memeriahkan majlis, festival tahun ini turut disertai tiga agensi korporat dan swasta, enam jabatan dan agensi kerajaan, lapan persatuan, 13 sekolah rendah, sembilan sekolah menengah, 10 institusi pengajian tinggi serta pengusaha bunga.
Pelbagai gerai disediakan memenuhi keunikan festival kali ini iaitu 55 gerai usahawan kraftangan, 50 gerai jualan bunga, tanaman hiasan, produk untuk taman, hortikultur di ‘Garden Bazaar & Hortmart’, 40 gerai makanan dan minuman manakala bunga-bungaan taman hidup dipamerkan di lebih 80 lot.
Selain daripada itu, pengunjung berpeluang menyertai lebih 200 aktiviti harian, hiburan berunsur pendidikan, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya astaka bunga-bungaan, bazar kebun, laman seni, pertandingan fotografi dan lukisan cat air.
Pameran di kawasan seluas 6.07 hektar juga membolehkan pengunjung mendekati dan menyelami keindahan landskap dan bunga-bungaan. Apa yang pasti, pada waktu malam, landskap dan kawasan pameran menampilkan keindahan taman dengan cahaya lampu yang memukau. Maklumat lanjut di laman sesawang www.ppj.gov.my/putrajayafloria/floria.html
Comments: 1 Comment

MELAWAT KE CAMERON HIGHLANDS DAN FLORIA PUTRAJAYA

Pada 9 hingga 12 Julai 2011 adalah tarikh yang ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli Persatuan Landskap SMK Telok Kerang.  Selama tiga hari itu seramai 35 ahli persatuan pergi melawat sambil belajar ke Cameron Highlands dan Putrajaya. Di Putrajaya mereka lebih menumpukan lawatan ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya). Sepanjang lawatan itu mereka diiringi oleh Cikgu Hasan, Cikgu Norhaizan, Cikgu Syuhada dan Cikgu Maherunnisak.
Di Cameron Highlands mereka menginap selama dua malam. Dapatlah mereka merasai kedinginan dan kesegaran terutama pada waktu malam di kawasan pelancongan dan peranginan tanah tinggi itu. Tumpuan lawatan mereka di Cameron Highlands ialah beberapa buah nurseri tanaman hiasan, ladang teh dan pusat penanaman buah strawberi. Selain itu mereka juga membeli-belah buah-buahan segar terutama buah strawberi, kaktus dan juga barang-barang cenderahati.
Pada hari ketiga seawal jam 8.00 pagi mereka bertolak ke Putrajaya. Keadaan yang biasa apabila beberapa murid yang mabuk disebabkan perjalanan bas yang beroleng melalui jalan berliku menuruni bukit yang curam. 
Di Putrajaya selepas melawat  Seri Perdana dan Masjid Putra, mereka melawat pula Floria Putraja yang berlangsung di Precinct 2. Di sini dipenuhi dengan hamparan bunga berwarna-warni, pembinaan landskap yang menarik, pameran tertutup floral pavillion, jualan produk tanaman hiasan di Garden Bazaar dan lain-lain. Yang menariknya, bunga mawar pelbagai warna menjadi daya penarik di setiap sudut pameran, bertepatan dengan tema pada tahun ini iaitu ‘Mawar Untuk Selamanya’.
Comments: 1 Comment

RAMADHAN MENJELMA. SELAMAT BERPUASA

Kami mengucapkan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada semua umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia. Selamat berpuasa.
 
Nabi Muhammad SAW menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).


Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”. (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)
Comments: Leave a Comment

ISTIMEWANYA FLORIA PUTRAJAYA 2011

Bermula 9 Julai dan berakhir 17 Julai 2011, Floria Putrajaya 2011 diwarnai dengan pelbagai rekaan taman dan gubahan bunga indah lagi mempersona dari negara-negara Eropah dan Asia. Ia yang diadakan di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya dapat memberi ilham kepada para pengunjung untuk menampilkan terutamanya rekaan seni taman untuk kediaman peribadi mereka.
Bertemakan bunga ros atau mawar sebagai tarikan,  dalam tempoh seminggu pameran bunga mawar itu sememangnya mempunyai daya tarikan kepada sesiapa sahaja. Pesona pada kelopak ros yang berlapis, haruman semerbak yang menyamankan dengan warna merah, putih, kuning, jingga dan merah jambu amat mencuri pandangan walaupun pokoknya berduri tajam. Tema ‘Ros Untuk Selamanya’, para pengunjung boleh menyaksikan lebih 100 spesies bunga ros dari Asia Tenggara dan 300 spesies dari seluruh dunia yang memiliki nilai komersial tinggi.

Pameran lebih 100 spesies bunga Ros yang terdiri dari spesies hibrid, floribunda, grandiflora, miniature, pepanjat, tanaman renek dan pokok akan dipamerkan dengan reka bentuk taman di luar dan di dalam khemah pameran manakala lebih 400,000 tumbuhan berbunga dipamerkan termasuk sebahagiannya adalah dari spesies ros.

Pameran bunga mawar terbesar di negara itu menjadi lebih menarik kerana turut melibatkan penyertaan antarabangsa dari New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Hong Kong, Kanada, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Pakistan, Kenya, Indonesia, Macau dan Thailand.

Kunjungan kita ke Floria 2011 pasti terisi kerana lebih 200 program termasuk ‘garden centre’, agro bazaar, produk agro, ‘master gardener’, ‘botanical discovery’, pertunjukan bunga api, hiburan, persembahan dan pavilion bunga-bungaan turut menyerikan lagi festival itu.

Istimewanya festival kali ini, kita boleh menyaksikan perarakan bot berhias yang diselaputi pelbagai reka bentuk menawan yang menghangatkan suasana di Tasik Putrajaya selain taman-taman ros yang menyegarkan. Simbahan warna-warni daripada lampu bot berhias itu datang daripada Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan yang memeriahkan lagi sambutan Floria 2011. Pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan bunga api pada setiap malam semasa perarakan bot berhias itu diadakan.

Floria kali ini menjanjikan kepada kita bahawa mawar pelbagai warna ada di sekeliling kita dan ada di mana-mana.  Puas melihatnya. Memang menyeronokkan dan begitu istimewa…

Comments: 1 Comment

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON: MENUAI BUAH

Hari ini ahli-ahli Persatuan Landskap gembira kerana dah tiba masanya diorang menuai buah-buah rockmelon yang mereka usahakan. Setelah sama-sama menanam dan menjaga serta menunggu selama 70 hari, hari ini diorang dapat menikmati buah yang diorang idamkan. Namun demikian, diorang terpaksa menunggu sehingga waktu berbuka kerana bulan ini adalah bulan puasa.
Buah-buah yang dituai pada peringkat pertama ini beratnya di antara 1.3 kg hingga 2.5 kg. Setelah ditimbang, buah gred A (lebih daripada 1.5 kg) sebanyak 35 peratus dan buah yang gred B sebanyak 65 peratus. Ada banyak lagi buah yang belum dituai kerana belum cukup matang.
Ramai guru-guru sekolah ini yang membeli buah-buah tersebut. Kebanyakan guru-guru memilih buah bersaiz gred A. Ahli-ahli Persatuan Landskap mendapat peruntukan percuma seorang dua biji, (penghargaan penat-lelah diorang membantu menjayakan projek ini). Buah-buah yang lebih kami jual kepada pemborong buah-buahan di bandar Pontian. Hasil jualan buah dapatlah sikit untung dan balik modal pembelian baja fertigasi dan biji benih. Syukur… Allah SWT beri rezeki.
Comments: 1 Comment

TITI LAMAN

Berita Minggu 14 Ogos 2011
Artikel ini hampir sama dengan artikel yang telah kami buat dalam blog ini yang bertajuk JAMBATAN MINI/TITI DALAM TAMAN.
SEPERTI diketahui, elemen air sangat penting untuk menghasilkan laman indah dan menarik. Malah air memberi nilai estetika kepada laman kerana ia simbolik unsur ketenangan, kedamaian. Untuk itu, ramai memilih meletakkan unsur air di laman mereka dengan membina kolam dan pancuran air. Selain itu, ada juga menggunakan kolam dan pancuran air mini yang boleh diubah mengikut cita rasa masing-masing. Salah satu binaan yang ada kaitan dengan air adalah jambatan mini laman atau titi. Jambatan mini ini sering menjadi hiasan dalam seni hias laman Jepun dan Cina, namun kini ia semakin popular dan jadi pilihan pereka landskap dalam hiasan laman kediaman.

Seperti reka bentuk jambatan biasa yang merentasi sungai, terusan, parit dan longkang, titi juga dibina menggunakan bahan tahan lasak dan kukuh seperti konkrit, kayu, keluli, besi dan batu. Namun biasa dibina di laman adalah jambatan mini kayu dan konkrit atau simenfero, sama ada berpemegang atau tanpanya.
Bagi laman nusantara, biasanya jambatan kayu menjadi pilihan kerana ia melambangkan dekatnya konsep itu dengan alam, begitu juga laman Inggeris, namun warna bagi kedua-dua konsep ini tampil berbeza.
Untuk laman tropika atau nusantara, biasanya kayu yang digunakan menampilkan ciri kayu itu sendiri atau pun urat kayu dengan warna-warna gelap, asli (warna kayu) dan coklat manakala untuk laman Inggeris, biasanya dicat putih atau warna lapuk (rustic).
Untuk gaya terkini, titi dalam laman nusantara dan tropika dihiasi pemegang tali kapal atau tali sabut berwarna coklat, perang dan hitam. Bagi mereka yang ingin membina sendiri titi, jambatan mini ini turut dijual di kedai aksesori laman dan nurseri bunga dengan kos mampu milik.
Jika ingin menggunakan khidmat kontraktor landskap, biasanya kontraktor membina jambatan ini seperti yang direka bentuk pereka laman. Jambatan laman tidak terhad untuk laman yang luas, malah boleh disesuaikan dengan kawasan yang sempit.

Titi kecil ini biasanya hanya berfungsi sebagai hiasan, tidak sesuai digunakan kerana saiznya tidak mampu menampung berat badan manusia. Bagaimanapun titi besar, selain mencantikkan hiasan landskap, memberi nilai estetika kepada laman yang boleh dijadikan tempat mencari ketenangan kerana berdekatan air yang dikaitkan dengan kedamaian.

Bukan saja sesuai untuk kawasan di atas air, titi juga boleh menjadi hiasan kawasan kering, berpaya atau becak selain di kawasan berpasir sebagai laluan pejalan kaki. Elemen ini juga boleh menjadi penghubung antara satu kawasan laman dengan ruang lain, contohnya penyambung ruang laman dengan tempat letak kereta atau anjung rumah.
Cuba letakkan titi taman yang kecil di laman kerana ia memberi impak berbeza dan pasti mencuri tumpuan sesiapa saja yang berkunjung ke laman.

 

INFO: Tip penjagaan titi kayu

  • Sapu kayu titi dengan varnis untuk mengilatkan, melindungi kayu daripada cuaca dan suhu.
  • Kerap memeriksa titi terutama di bahagian sambungan.
  • Kerap membersihkan titi terutama bahagian sering terkena air supaya tidak reput.
  • Buang rumpai, lumut yang boleh merosakkan kayu.
  • Bersihkan kolam, pancuran air tempat titi kayu supaya tidak jadi beban kepada titi dan boleh merosakkannya.
Comments: 1 Comment

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Aidilfitri adalah perayaan khusus dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam  setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Ia sebagai tanda individu muslim itu telah kembali ke fitrah asalnya iaitu bersih dari segala dosa. Ia adalah hari kemenangan kita mendidik hawa nafsu sehingga fitrah kita kembali lurus dan jernih sifatnya.
سلامت هاريراي عيدالفطري
Maaf Zahir dan Batin
Dalam segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita.
Selepas sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.
Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.
Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat terawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi.
Sebagai tanda meraikan kejayaan itu maka kita dianugerahkan Hari Raya Aidilfiri. Pada asasanya Aidilfitri adalah hari untuk kita menzahirkan kegembiraan. Namun, kegembiraan itu perlu dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan yang kita kecapai di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Aidilfitri bukan hari untuk kita melempiaskan hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah).
Di samping menceriakan hari raya dengan amal ibadat dan takbir raya, umat Islam juga dituntut melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah.
Amalan-amalan tersebut adalah seperti bermaaf-maafan, memohon kemaafan ibu-bapa, ziarah-menziarahi, menyambung kembali silaturahim yang telah terputus sesama kaum keluarga dan sahabat handai serta menziarahi pusara (kubur) ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah.
Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim. Ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertaut kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa ynag kita lakukan di bulan Ramadan itu dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita yang diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang hayat.
Comments: 10 Comments

LAMAN SYAWAL

Penghargaan untuk Berita Minggu 4 September 2011
TIBA musim perayaan, lazimnya ramai yang menghias kediaman dengan gubahan bunga segar untuk kawasan dalam kediaman tetapi melupakan kawasan luar rumah. Bagi memeriahkan lagi kehadiran Syawal selama sebulan, ingin saya cadangkan anda menghiasi laman di kediaman anda itu dengan pelbagai tanaman hiasan hidup yang digubah cantik dan menarik.
Berikut saya kongsi teknik membuat satu gubahan tanaman hiasan yang mudah, ringkas dan segera tetapi menarik.
Ruang sesuai:
Idea gubahan seperti ini sesuai untuk menghiasi ruang seperti tempat letak kereta, patio, balkoni dan ruang taman dalam kediaman atau di kenali sebagai ‘courtyard garden.’
Persediaan tempat:
Tetapkan lokasi di mana gubahan ingin dilakukan dan kemudian bersihkannya.
Bahan untuk gubahan:
  1. Pokok hiasan: Pokok yang digunakan itu biarlah dari beberapa peringkat seperti berikut; a) Pokok paling tinggi: Ia akan menjadi titik tumpuan kepada gubahan. b) Pokok rendah: Ia digunakan bagi menghiasi bahagian hadapan gubahan. c) Pokok gantung: Untuk digantung di bahagian atas gubahan. Sebagai contoh, saya gunakan semua pokok berdaun. Walaupun tidak menggunakan pokok berbunga, ada di antara pokok itu juga berdaun cantik berwarna warni seperti pokok ati-ati. Pokok aluminium atau pilea cadierei pula berdaun unik iaitu bercorak warna perak seakan aluminium di permukaan atasnya. Bagi pokok gantung, saya menggunakan pokok paku Boston dan pokok duit-duit. Jika anda ingin menggunakan pokok berbunga pula, pilihlah pelbagai pokok berbunga semusim seperti tagetes, impatiens, petunia dan sebagainya untuk mencantikkan lagi gubahan. Pokok boleh dibiarkan dalam polibeg masing masing atau diubah dan ditanam dalam pasu yang sama saiznya agar senang kerja-kerja membuat gubahannya.
  2. Pagar buatan: Sebaiknya gunakan pagar yang diperbuat daripada kayu untuk kelihatan lebih semula jadi, cantik dan menarik.
  3. Batu: Gunakan batu dalam pelbagai bentuk, warna dan saiz sebagai hiasan dan penambah seri gubahan.
  4. Tali: Digunakan bagi membendung batu supaya tidak berselerak di merata tempat.
Teknik gubahan:
  • Langkah 1: Letakkan pokok yang paling tinggi di belakang sekali. Jika pokok tidak mencapai ketinggian yang dikehendaki, sila gunakan pelapik atau alas pasu.
  • Langkah 2: Letakkan pokok yang rendah iaitu pokok ati-ati dan pokok aluminium di hadapannya sehingga menutupi sekelilingnya.
  • Langkah 3: Kemudian letakkan pula pagar buatan di bahagian depan susunan pokok tadi agar nampak lebih cantik dan menyerlah.
  • Langkah 4: Seterusnya taburkan batu pelbagai saiz dan warna di hadapan pagar buatan agar gubahan nampak lebih cantik dan menarik. Mulakan dengan batu bersaiz besar dan diakhiri dengan yang bersaiz kecil sekali.
  • Langkah 5: Gantung juga beberapa pokok gantung yang cantik di bahagian atasnya agar gubahan nampak lebih padat, beraneka dan cantik.
Tip:
  • Bagi menghalang batu agar tidak berselerak di merata tempat yang mungkin mengundang bahaya kepada tetamu yang bertandang letakkan pula tali rami di bahagian luar gubahan.
  • Pelapik atau alas pasu boleh digunakan untuk menambah ketinggian pokok.
  • Trellis atau pembahagi ruang cantik sekali untuk dijadikan tempat menggantung pokok menjalar.
  • Cangkuk pula boleh digunakan untuk menggantung pokok gantung pilihan anda itu di trellis.
Lihatlah hasilnya. Cantik bukan? Ianya mudah, ringkas tetapi tetap cantik dan menarik. Oleh itu cubalah membuatnya dan lihatlah hasilnya nanti. Mana tahu anda boleh membuatnya lebih cantik lagi daripada apa yang dipaparkan di sini.
Selamat mencuba!
Comments: 1 Comment

AURA TROPIKA

Penghargaan buat Berita Minggu 11 September 2011
HUJAN pagi itu tidak menghalang usaha untuk merakamkan keindahan laman tropika luas di banglo milik seorang ahli perniagaan di Bukit Kemuning, Shah Alam. Malah titisan air hujan yang jatuh di dahan dan dedaun pepohon laman itu memberikan impak menarik serta menyerlahkan lagi gambar yang mahu dirakamkan.
Seperti diidamkan pemilik kediaman yang mahukan laman kemas dan tidak terlalu padat, kontraktor landskap, LDY Decor Works Sdn Bhd (LDY) tidak menggunakan sebarang aksesori laman kecuali membina pelantar kaki setinggi satu kaki di belakang kediaman sebagai tempat berehat waktu petang dan senggang. Pelantar kayu di bawah pergola keluli diwarnakan seperti warna kayu dan beratapkan gentian kaca yang menampakkan langit bersambung dengan kediaman. Bersebelahannya pula, dibina kolam dan pancuran air di sudut dalam bentuk V yang tampil sederhana, kemas dan teratur, sesuai dengan cita rasa pemilik kediaman.
Dilengkapi tempat pemijak kaki yang dibina seakan terapung dalam kolam, kawasan itu juga menjadi tempat untuk memberi ikan koi makan. Pokok yang menghiasi sudut kiri dan kanan pancuran air dan kolam dihadkan jumlahnya, namun tetap menarik.
Batu kerikil dan batu kecil hitam dan putih menghias batas pokok, sekali gus menaikkan lagi keindahan kawasan berkenaan. Tumbuhan pula gabungan pokok berdaun pelbagai warna seperti cordyline, aglaonema, licuala bintuluensis atau pokok palas Bintulu manakala calathea lutea diletakkan di belakang pancuran air bagi menutup pam kolam.
Selain ikan koi, kolam berwarna hijau itu dihiasi itik hiasan yang sekali pandang seakan itik hidup berenang dan bermain-main sekelilingnya. Hanya pokok pandan dalam pasu yang dibeli pemilik banglo diletakkan dalam kolam bagi menambah keindahan.
Kontraktor berusaha dengan konsep tropika idaman pemilik kediaman melalui konsep landskap paling kemas dan teratur sesuai keluasan laman yang besar, menjadikan ruang nampak kemas dan tidak terlalu padat. Di bahagian depan laman, ditanam pokok palma cattail, pokok menara dan pokok doa atau Busida busera’ beratur bersebelahan tembok.
Di sudut sebelah kiri pula diletakkan pokok yucca aloifolia yang diserikan lagi dengan batu sungai dan kerikil menutup batasnya, menjadikan kawasan laman banglo itu kemas dan menarik.
Bersebelahan pokok yucca, ditanam pula palma cycas revoluta atau nama tempatannya bogak, pokok aji atau paku gunung yang ditemani paku pandan mewujudkan kombinasi menarik dan unik untuk laman.
Menurut pereka laman LDY, Abdul Razak, pemilik kediaman mahukan kawasan laman luas kediaman itu dibina kemas dan tidak nampak terlalu semak menyebabkan jumlah pokok yang dipilih terhad.
“Saya juga perkenalkan teknik batas dan menggunakan batu kerikil untuk dijadikan sempadan kawasan pokok dan laman berumput yang luas. Saya pilih rumput Filipina atau sesetengah orang panggil rumput permaidani kerana ia mudah dijaga serta memberikan impak keluasan kepada laman.
“Pokok dipilih pun terhad yang mempunyai ciri moden sesuai dengan banglo ini yang tampil dengan seni bina sama,” katanya yang boleh dihubungi di talian 03-87372561 atau melalui laman web http://www.ldyclassic.com.my/.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments: 1 Comment