Inai | Keindahan Ukiran Serikan Wanita Di Hari Persandingan
Inai | Keindahan Ukiran Serikan Wanita Di Hari Persandingan
Tidak semua insan dikurniakan bakat mengukir inai. Jika ada sekalipun, mungkin bilangannya terlalu sedikit berbanding bakat seperti menyanyi dan menari yang mampu dilakukan ramai orang.
Nordiana Mohd, 30, adalah antara insan yang cukup bertuah kerana dikurniakan kemahiran mengukir inai.
Bukan hanya ukiran inai sahaja, bahkan bakat mengubah gubahan hantaran perkahwinan, fotografi, menyanyi dan menari juga dimilikinya. Ketika bercerita mengenai bakatnya yang mengukir inai itu, Nordiana atau lebih dikenali sebagai Diena Henna berkata, dia sebenarnya tidak menyedari bahawa dalam dirinya tersimpan bakat mengukir.
“Saya hanya pandai melukis karya yang biasa sahaja seperti lukisan kartun, tumbuh-tumbuhan dan suasana perkampungan. Jauh sekali untuk melibatkan diri dalam dunia ukir mengukir.
“Mungkin bakat ini diasah ketika saya pernah bekerja dengan seorang majikan berketurunan India yang merupakan pengukir inai terkenal sekitar Kuala Lumpur satu ketika dulu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Diena berkata, ketika dia bekerja, usianya pada ketika itu baru menjengah 24 tahun.
“Pada masa itu majikan meminta saya mengukir inai di atas tangan seorang pelanggan. Namun saya beritahu padanya yang saya tidak ada asas terhadap ukiran inai dan meminta dia mengajar cara untuk mengukir.
“Disebabkan terlalu sibuk, dia meminta saya belajar sendiri mengenai teknik ukiran inai melalui pemerhatian,” ceritanya.
Kata Diena, pada awal pembelajaran, dia hadapi kesukaran kerana mengukir inai bukanlah semudah yang disangka.
“Ukiran inai banyak bentuknya. Ukiran berbentuk bunga, hati, bintang dan seumpamanya. Saya belajar kesemua teknik itu walaupun payah dan paling mengejutkan apabila dapat menguasai dalam masa yang singkat,” katanya. Oleh kerana sudah mahir mengukir inai, ramailah pelanggan yang datang untuk mendapatkan khidmat Diena.
“Saya rasa teruja apabila ramai yang menyukai ukiran inai saya. Apatah lagi, kaum Cina, India dan pelancong asing turut meminta khidmat saya untuk menghiasi tangan mereka,” katanya sambil tersenyum.
