Sembang Hujung Minggu SS – Membaca Kunci Kejayaan dalam Diet!

Kejayaan seseorang dalam menurunkan/menaikkan berat badan tidak terhad kepada disiplin semata-mata. Tanpa ilmu, disiplin sahaja tidak mencukupi. Dan tanpa disiplin, ilmu sahaja tidak mencukupi. Begitulah kuatnya pertalian di antara kedua-dua komponen ini. Apabila kedua-duanya disatukan, maka terbentuklah kejayaan yang dicari.

Itulah sebabnya anda disarankan membaca dahulu ke semua entri-entri yang ada di dalam blog ini sebelum mengutarakan soalan seperti, “SS, bagaimana saya nak kurus?“, “SS, bagaimana saya nak naik berat?” dan sebagainya. Mungkin untuk khatam blog ini bunyinya seperti susah, tak mengapa. Sekurang-kurangnya untuk permulaan, rujuklah dahulu menu-menu utama di atas terutamanya “Kelas Kalori” dan “Soalan Lazim“, sesungguhnya di situlah terletaknya nadi Susu Sejat. Ini pesanan khas untuk follower/pembaca-pembaca SS yang masih baru. Bacalah, bacalah, dan teruskan membaca. Tidak faham, barulah tanya. Kemudian amalkan, dan sebarkan kepada mereka yang memerlukan.

Sebut tentang “membaca”, aku ingin berkongsi pengalaman aku berkunjung ke sebuah pesta buku Sabtu lepas. Ianya dianjurkan oleh Big Bad Wolf Books mulai 7 Oktober yang lalu sehinggalah 16 Oktober ini. Berbaki tidak sampai seminggu lagi sebelum ianya ditutup, aku cadangkan kepada pembaca-pembaca kesayangan sekalian, terutamanya yang tinggal berhampiran Serdang dan belum lagi berkunjung ke sana agar silalah berkunjung sebelum anda terasa menyesal. Mengapa? Kerana buku-buku di sana semuanya murah-murah (bukan buku second hand), diskaun yang amat melampau sehingga 95% diskaun, di Malaysia mana nak dapat diskaun sampai macam ni kan?

Terletak di MAEPS (berhampiran UPM Serdang), ia menyajikan buku-buku luar negara (majoritinya dari US dan UK) daripada pelbagai kategori yang kebiasaannya mencecah ratusan ringgit di kedai-kedai buku pada harga biasa, tetapi boleh didapati di sini dengan harga hanya RM10. Novel best-selling seperti Twilight (New Moon) yang hardcover juga dijual dengan harga RM8 senaskhah, murah bukan?

Tetapi aku ni bukan jenis suka membaca Novel, jika aku hendak mengikuti sesuatu cerita, aku lebih senang dengan menonton filemnya sahaja. Jika aku hendak memilih buku untuk dibaca, kebiasaannya aku lebih cenderung memilih buku yang bertemakan Sains, Teknologi, Perubatan (yang tidak terlalu berat), Panduan Diet, Kesihatan dan Kecergasan, Sejarah, Misteri Dunia, dan Numismatic.

Siri popular “For Dummies…” pun ada. Semuanya berharga sekitar RM8 – RM15 sahaja!

Maka dengan itu, aku telah memilih untuk membeli 3 buku dahulu iaitu “The Genotype Diet” oleh Dr. Peter D’Adamo, “The Language of Life: DNA and the revolution in personalized medicine” oleh Dr. Francis Collins, dan “Pompeii: The great mysteries of archaelogy” oleh T. Pedrazzi. Harga ketiga-tiganya, yang sepatutnya berjumlah melebihi RM200, mampu aku miliki dengan harga RM30 SAHAJA!

Genotype Diet? Mungkin ramai yang kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Genotype. Genotype bermaksud pengelasan genetik untuk satu-satu ciri fizikal. Sebagai contoh, Senah mempunyai gigi depan yang lebih teratur, manakala Halimah pula mempunyai gigi depan yang terkedepan seolah-olah jongang. Dalam kes ini, genotype untuk struktur gigi Senah berbeza dengan genotype struktur gigi Halimah. Satu lagi contoh yang lebih mudah ialah kelebaran badan. Saipul mungkin mempunyai rangka badan yang lebih besar berbanding Abu, kerana Genotype Saipul berbeza dengan genotype Abu.

Secara praktikal, semua manusia itu tidak sama, ada yang hidung mancung, ada yang lengan lebih panjang, ada yang bermata biru, dan berbagai lagi. Semua ini adalah disebabkan oleh kepelbagaian genotype. Genotype Diet secara teorinya memberi tahu setiap manusia memerlukan diet yang berbeza bergantung kepada genotype masing-masing, untuk turun, naik, kekal berat, dan yang lebih penting, kekal sihat sehingga ke hari tua. Secara tidak langsung, Genotype Diet adalah bersifat lebih saintifik berbanding Diet Kira Kalori yang aku ajar selama ini. Ini kerana seseorang itu perlu mengukur dahulu berapa panjang lengan mereka, berapa anggaran saiz kepala, jenis tubuh badan, bagaimana corak ibu jari, bagaimana rupa struktur gigi, apa jenis darah, dan lebih banyak lagi. Dengan maklumat-maklumat ini, maka kita akan mengetahui makanan jenis apa yang patut diterapkan ke dalam diet harian, sesuai dengan sifat tubuh badan masing-masing. Menarik bukan? Sekali dengar seperti Bloodtype Diet yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini, tetapi yang ini lebih terperinci dan saintifik.

Aku tak mahu cerita panjang-panjang mengenai Genotype Diet ini kerana aku pun baru sahaja mula menelaah buku ini. Sekiranya anda semua nak tahu apa itu Genotype Diet dan bagaimana ia berfungsi, silalah ke Big Bad Wolf Books sekarang dan dapatkanya pada harga yang SANGAT MURAH sementara ia masih buka. Aku lihat buku ini masih banyak lagi, masih belum terlambat lagi untuk dibeli. Selain Genotype Diet, terdapat banyak lagi buku-buku yang membincangkan tentang ‘Fad Diet’ yang lain, Hollywood Diet, 3-hours Diet, Low GI Diet, Abs Diet, dan bermacam-macam jenis diet lagi sampai aku sendiri pun tak larat nak menyebutnya (The 17 Day Diet tak pasti ada atau tak). Cuma setakat ini aku lebih tertarik untuk membaca dan mempelajari apa itu Genotype Diet kerana ia bersifat lebih saintifik, terperinci dan logik.

“Thank you my beloved Soulmate for introducing me with such a great deal! Thank you Big Bad Wolf for such fantastic bargain!”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments: Leave a Comment

Leave a Reply